Saintis Menulis
Oleh Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila



Teknologi penghasilan genetically modified organism (GMO) menglibatkan proses integrasi gen asing ke dalam kromosom sesuatu organisme. Sifat yang dikodkan oleh gen berkenaan akan diwariskan kepada keturunannya melalui proses pembiakan. Teknologi ini berpotensi tinggi dan boleh dimanfaatkan bagi menyelesaikan banyak masalah terutamanya yang berkaitan dengan kekurangan sumber makanan yang berkualiti tinggi.


Pun begitu pelbagai pihak bimbang akan kemungkinan kesan negatif penggunaan GMO. Tambahan pula ramai yang masih tidak memahami teknologi ini. Juga, para saintis masih belum dapat menjangkakan kesan jangka panjang sebenar kepada individu dan juga alam sekitar. Kebimbangan ini telah pun menyebabkan beberapa negara Eropah mengharamkan import tumbuhan GMO atau sumber makanan berasal daripada GMO.

Memang ramai petani ternanti-nanti spesies tanaman seperti sayur-sayuran yang tahan kepada serangan serangga perosak, kerana ia akan mengurangkan kos penanaman jangka panjang. Spesies ini boleh diwujudkan dengan meletakkan kod genetik yang sesuai pada sayuran berkenaan. Kod genetik atau gen berkenaan boleh diperoleh daripada sejenis bakteria yang dinamakan Bacillus thuringiensis.

Kini sudah terdapat spesies tomato, jagung dan pokok kapas GMO yang mengandungi gen ini dan ia telah pun ditanam dengan meluas di Amerika Syarikat. Setiap sel pokok berkenaan sama ada pada daun ataupun buahnya mengandungi gen yang menyebabkan penghasilan sejenis toksin.

Selain daripada serangga, toksin berkenaan dikatakan tidak memberikan apa-apa kesan kesihatan kepada manusia atau haiwan. Kesannya pada serangga ialah larva serangga perosak yang memakan tanaman GMO berkenaan akan mati akibat toksin yang dihasilkan.

Dengan yang demikian kerugian akibat kerosakan pada tanaman akan berkurangan. Tetapi, apakah kemungkinan kod genetik pada tanaman berkenaan tidak dipindahkan kepada spesies tumbuhan lain seperti lalang?

Sebenarnya, fenomena perpindahan genetik di kalangan GMO telah pun terjadi pada spesies canola GMO di Kanada. Pada mulanya para saintis mewujudkan tiga jenis pokok canola GMO. Masing-masing menerima satu gen yang membolehkan setiap satu pokok canola hanya tahan kepada salah satu daripada tiga jenis racun rumpai yang berlainan iaitu racun rumpai glyphosate (Roundup), glufosinate-ammonium (Liberty) atau imazethapyr (Pursuit).

Kemudian, melalui proses pendebungaan semula jadi, kacukan berlaku di antara pokok canola yang berlainan. Saintis mendapati kod genetik telah dipindahkan di antara satu sama lain dan akhirnya setiap anak benih pokok canola GMO yang dihasilkan memperoleh daya tahan terhadap kesemua ketiga-tiga jenis racun rumpai.

Apakah implikasinya jika pemindahan kod genetik ini melibatkan spesies rumpai seperti lalang. Sudah tentu akan wujudlah satu spesies lalang yang baru yang tahan kepada racun rumpai. Perubahan genetik pada GMO merupakan suatu perubahan kekal. Ini menjadikan spesies tumbuhan berkenaan sukar dihapuskan.

Di samping itu, ia akan mewujudkan persaingan di kalangan tanaman dari segi pengambilan nutrien dan ruang yang akhirnya menyebabkan kepupusan spesies asal.

Terdapat juga tumbuhan GMO yang boleh meracuni serangga penting, terutamanya jenis serangga yang menolong proses pendebungaan. Saintis juga telah menemui spesies bakteria yang memperoleh kod genetik yang berasal daripada tumbuhan GMO. Menarik sekali, bakteria ini ditemui di dalam usus serangga yang memakan tumbuhan GMO berkenaan. Sudah tentu pemindahan bahan genetik yang tidak terkawal ini boleh menyebabkan suatu malapetaka kepada ekosistem semula jadi dan kemusnahan biodiversti flora dan fauna.

Mungkin hanya sejumlah kecil kod genetik yang terlibat semasa proses pembuatan sesuatu GMO. Tetapi, sebarang perubahan genetik berpotensi mengganggu fungsi gen yang lain. Sayur atau buah-buahan GMO yang dihasilkan mungkin mempunyai rasa yang berlainan. Kepedasan cili mungkin sudah tiada lagi, sekiranya gangguan tersebut memusnahkan kod genetik yang bertanggungjawab mensintesis capsaicin, iaitu sejenis molekul yang menyebabkan cili rasa pedas.

Mungkin juga tumbuhan baru GMO menghasilkan bahan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti alahan dan sebagainya. Di samping itu, perubahan genetik membawa kepada perubahan sifat menyebabkan ketidakseimbangan di antara tanaman dan persekitaran tanah seperti gangguan kepada proses simbiosis di antara akar tumbuhan dan bakteria dalam tanah yang membekalkan unsur nitrogen. Gangguan pada keseimbangan ini mengakibatkan sesuatu tanaman tidak berupaya mensintesis nutrien yang dikehendaki.

Suatu jangka masa yang panjang mungkin diperlukan sebelum sesuatu kesan negatif ke atas kesihatan manusia boleh dilihat akibat daripada pengambilan makanan yang diperbuat daripada GMO. Mungkin juga kesan berkenaan hanya berlaku pada individu yang mengambil makanan berkenaan secara berterusan.
Amat merisaukan ramai pihak, di sebalik kecanggihan teknologi, tiada satu pun teknik terkini yang boleh digunakan dengan jayanya bagi mengesan dan mengesahkan implikasi GMO kepada kesihatan manusia. Setakat ini, belum ada satu pun sebarang keputusan kajian saintifik terperinci mengenai implikasi pengambilan makanan GMO ke atas kesihatan manusia.

Salah satu masalah yang paling ketara dalam dunia penyelidikan kejuruteraan genetik ialah penggunaan bakteria dan lain-lain organisme yang mempunyai daya tahan terhadap pelbagai jenis antibiotik. Bakteria berkenaan amat diperlukan oleh penyelidik bagi membolehkan sesuatu gen diklonkan. Sekiranya penyelidik berkenaan kurang prihatin terhadap tahap keselamatan, bakteria berkenaan boleh terlepas dengan mudah kepada alam sekitar yang sudah pun dipenuhi dengan pelbagai jenis bakteria.

Interaksi semula jadi di antara bakteria berkenaan mungkin menyebabkan pembentukan suatu superbakteria yang tahan kepada apa jua jenis antibiotik. Begitu juga dengan gen yang memberikan daya tahan antibiotik yang berada pada tumbuhan GMO seperti sayuran dan buah-buahan. Gen berkenaan boleh dipindahkan kepada bakteria yang berada dalam usus apabila manusia memakan tumbuhan GMO berkenaan.

Bakteria berkenaan boleh membiak dengan cepat, merebak dan sukar dikawal. Sekiranya bakteria berkenaan menyebabkan suatu wabak penyakit, penggunaan apa jua jenis antibiotik sekalipun tidak akan memberi kesan ke atas bakteria berkenaan.

Seluruh dunia telah menyuarakan kebimbangan ini. Oleh itu saintis perlu menghindari penggunaan gen yang boleh menyebabkan sesuatu GMO mendapat ketahanan terhadap sebarang antibiotik, terutamanya bagi GMO yang digunakan sebagai sumber makanan. Kalau tidak, jangkitan bakteria yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik akan muncul dan ia boleh menjadi salah satu daripada masalah kesihatan utama manusia di abad ini.

Tentu sekali implikasi penggunaan GMO ke atas ekonomi juga adalah besar. Sebagai contoh sayur-sayuran organik adalah berharga tinggi dan mempunyai pasaran yang luas. Istimewanya, bahan kimia dan GMO tidak boleh digunakan bagi tujuan penghasilan tanaman berkenaan.

Hasil tanaman yang diperoleh melalui proses kacukan yang tidak disengajakan dengan GMO juga tidak dibenarkan. Jika tidak, pensijilan atau pengiktirafan tidak akan diberikan oleh badan tertentu kepada hasil tanaman ladang organik berkenaan. Sudah tentu petani akan mengalami kerugian yang besar kerana hasil tanaman berkenaan tidak boleh dijual pada harga yang tinggi.

Satu lagi kemungkinan implikasi ekonomi ialah, spesies tanaman GMO hanya boleh dihasilkan oleh organisasi yang mempunyai keupayaan dari segi kewangan dan teknologi. Bagi mendapatkan pulangan pelaburan daripada penyelidikan masing-masing, organisasi berkenaan akan mendapatkan hak perundangan atau monopoli ke atas GMO yang dihasilkan sama ada dalam bentuk paten atau lain-lain bentuk perlindungan hak milik harta intelek.

Organisasi berkenaan boleh menghasilkan tanaman berkenaan pada kuantiti yang banyak dan pada kos yang rendah. Keadaan ini menjadi suatu ancaman kepada petani kecil yang tidak mampu bersaing dengan organisasi berkenaan dan akhirnya petani kecil berkenaan boleh kehilangan punca pendapatan.

Selain daripada itu, penggunaan tanaman GMO yang tahan kepada serangga perosak dijangka akan mengurangkan penggunaan racun perosak. Ini akan mengurangkan jualan dan pendapatan syarikat pengeluar. Sudah tentu syarikat yang terlibat akan cuba menentang atau sekurang-kurangnya melengahkan penggunaan tanaman GMO.

- PROF. MADYA DR. MOHD. AZMI MOHD. LILA ialah Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM). e-mel: azmi@ vet.upm.edu.my.


Artikel Penuh: Utusan Malaysia


Post a comment Blogger Disqus

 
Top